Wednesday 26 November 2008

Pulang

Titisan salji memutih di halaman rumah. Suhu di luar mencecah -2 darjah. Namun kehangatan bilik Noreen belum cukup memanaskan tubuh kecil moleknya. Dia menarik erat baju bulu yang terlekat rapi di tubuhnya. Sejuk. Memang sejuk cuaca pagi itu. Noreen merapatkan dirinya ke pemanas yang melekat di dinding bilik tidurnya itu.

Noreen membuka beg pakaiannya dan memasukkan beberapa helai baju kegemarannya ke dalam beg bagasi berwarna biru gelap di hadapannya. Dia tidak menyangka sudah sampai masanya dia akan pulang ke tanahair setelah tiga tahun merantau di negara orang. Di lipatnya sehelai baju kurung berbunga kecil dan mencium baju tersebut , lalu memasukkan ke dalam beg. Baju itu adalah teman tidurnya, selepas ibunya di panggil ilahi. Baju kesayangan ibunya yang dipakai sewaktu ibu menziarahinya di sini.

Noreen mengeluh lalu menutup semula beg itu. Berat rasa hati hendak pulang kerana tiada ibu yang akan menyambutnya pulang. Ayah... sudah lama tiada. Yang ada cuma adik beradik dan saudara mara di kampung. Mereka lah yang akan menyambutnya pulang...